Apa Dia Akal?
Dalam bahasa umum akal itu dipanggil otak, disamakan dengan otak.
Sebenarnya akal itu bukan otak. Kalau akal itu otak bererti semua makhluk
berkaki di dunia ini mempunyai akal. Kalau begitu semua makhluk mesti cerdik
dan pintar. Tetapi nampaknya bukan semua makhluk di dunia ini cerdik dan
pintar. Kepintaran dan kecerdikan ternyata hanya milik manusia. Meskipun mereka
(makhluk lain) ada otak, tetapi tetap juga tidak berakal dan boleh ditipu-tipu.
Mereka tidak boleh mengatasi kecerdikan manusia.
Itu menunjukkan akal itu bukan otak dan otak itu bukan akal. Akal hanya
ada kepada manusia sahaja, tetapi tidak ada kepada makhluk-makhluk lain.Otak itu hanya sebahagian daripada organ dalam tubuh sesuatu makhluk. Ia
terletak di bahagian atas dalam kepala. Fungsinya ialah untuk menerima
(mengkaji/bertindak) ke atas sesuatu rangsangan daripada pancaindera, hati,
mata, hidung, telinga dan lain-lain.
Kegunaan dan fungsi otak terbatas kepada apa yang dapat dilihat dan
dirasai oleh pancaindera-pancaindera itu (manusia) sahaja. Dalam erti kata
lain, otak hanya boleh menterjemahkan apa yang sudah wujud dan nyata sahaja.
Tetapi tidak boleh memikirkan (ma'rifat) tentang sesuatu kejadian disebalik
(maujud) itu.
Lain dengan akal. Kegunaan dan fungsi akal lebih luas dari itu. Akal bukan
cuma boleh menerima dan memikir terhadap apa yang maujud, tetapi juga boleh
menyelami apa yang belum wujud. Akal boleh menjangkau ke alam-alam ghaib kerana
ia mempunyai hubungan (sentuhan) langsung dengan Allah. Keadaan ini tidak
berlaku kepada otak. Satu persoalan lagi kalau otak itu akal, akal itu otak,
ini bermakna semua makhluk di dunia ini mempunyai tahap kedudukan, kecerdikan
dan kepintaran yang sama. Ini bermakna semua isi alam ini berada dalam darjat
yang sama! Tetapi hakikatnya tidak begitu, yang diakui sebagai sebaik-baik
kejadian hanya manusia.
FirmanNya.......
"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk
(kejadian) yang sebaik-baiknya."
Al Tin 4
Akal tetap akal. Dalam Al-Quran ditafsirkan akal itu sesuatu yang sangat
berguna kepada manusia.
FirmanNya.......
"Katakanlah, bukankah tidak sama orang-orang yang mengetahui dengan
orang-orang yang tidak mengetahui. Yang tidak lalai, melainkan orang-orang yang
mempunyai (akal) fikiran."
Az Zumar 9
Dan secara tidak langsung akal inilah yang membezakan di antara manusia
dengan makhluk lain. Gunanya untuk menilai dan merenung setiap kejadian Allah,
untuk dijadikan i'tibar dalam kehidupan. Allah menyebut makhluk ini dijadikan
untuk manusia yang mempunyai akal.
Sementara dalam firmanNya yang lain Allah menegaskan......
"Agama hanya bagi (berlaku) orang yang berakal."
Penegasan itu jelas menunjukkan darjat akal itu begitu tinggi sekali.
Kedudukannya sungguh mulia, kerana ia menjadi sempadan dan batu tanda (farak)
kemuliaan dan perbezaan manusia dengan makhluk.
Kalau akal itu bukan otak, jadi apakah yang dikatakan akal itu? Kalau
kita kembali kepada hakikat manusia seperti mana yang diterangkan Allah, bahawa
manusia itu memiliki rohNya yang bersifat atau samakan dari Nur Muhammad, maka
jelas kepada kita apakah akal itu. Akal itu ialah Nur Muhammad sendiri. Nur
Muhammad adalah merupakan satu zat Allah yang menjadikan manusia mulia.
Di sini boleh disimpulkan, akal itu ialah Nur Muhammad yang merupakan
manifestasi (tajalli) dari Zat Allah di mana Nur Muhammad inilah juga akhirnya
digunakan untuk mengenali dirinya sendiri. Justeru itu hanya manusia sahaja
dituntut agar mengenali dirinya dan ma'rifat dengan Tuhannya kerana ia
mempunyai roh Allah ataupun Nur Muhammad.
Firman Allah Ta'ala.......
"Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadian dan telah meniupkan
ke dalam rohnya (ciptaan) Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan sujud."
Dan FirmanNya lagi.......
"Kemudian dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya
roh (ciptaan) Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan
hati (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur."
Allah tidak tiupkan rohNya ke dalam tubuh Malaikat atai haiwan seperti
mana Dia lakukan ke atas manusia, walaupun Malaikat merupakan makhluk yang
tinggi darjatnya di sisi Allah. Allah menjadikan Malaikat daripada cahaya (Nur)
dan tidak ditiupkan rohNya ke dalam tubuh Malaikat.Justeru kerana kemuliaan atau kerana memiliki rahsia itulah maka Allah
hanya mengezetkan manusia sahaja diminta menjadi khalifah dan memimpin dunia
ini dan juga diperintah mengerjakan amal ibadat.
Firman Allah Ta'ala.......
"Dan dirikan solat, tunaikan zakat dan rukuklah bersama orang-orang
yang rukuk."
Al Baqarah 43
Khalifah yang dimaksudkan Allah bukan sahaja setakat menjadi pemimpin
kepada dunia atau memimpin sesama manusia sebaliknya memimpin dirinya sendiri
untuk mengenali Allah. Dan sesungguhnya bagi makhluk yang berakal (yang
mempunyai Nur Muhammad) sahaja akan dapat berjumpa (ma'rifat) dengan dirinya.
Berkaitan dengan hal ini tidak diragui lagi bahawa kemuliaan, kebesaran
dan ketinggian manusia itu terbukti apabila manusia dengan berani sanggup
memikul dan menjaga rahsia Allah.
Firman Allah Ta'ala.......
"Sesungguhnya Kamu kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada
langit dan bumi serta gunung-ganang, maka semuanya enggan memikulnya dan
khuatir akan mengkhianati dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang
ada) sanggup memikulnya."
Al Ahzab 72
Kesanggupan dan kerelaan manusia itu tidak lain dan tidak bukan kerana
ia tahu siapa dirinya yang tidak perlu merasa takut ataupun gentar menerima
rahsia dan amanah itu seperti mana yang dirasai oleh makhluk lain.Rahsia atau amanah itu juga merupakan mahkota Allah S.W.T kepada manusia
untuk membolehkan ia dinobat menjadi pemimpin dunia dan juga menyebabkan Iblis
diperintahkan tunduk kepadanya.
Jadi di sini jelaslah kepada kita apakah akal itu? Hanya akal (Nur
Muhammad) inilah yang membezakan kita dengan makhluk lain. Namun begitu bukan
bermakna setiap manusia yang berakal itu tahu secara automatic hakikat dirinya
dan kemuliaannya. Jika mereka tidak mempergunakan akal dengan sebaik-baiknya,
mereka juga buta dalam soal ini. Kedudukan mereka sama juga dengan taraf orang
yang tidak tahu kemuliaannya. Kedudukannya sama sahaja dengan makhluk yang
tidak mempunyai akal ataupun dengan orang yang ada akal tetapi tidak
menggunakan akal, ataupun sama sahaja dengan orang yang hilang akal! Sementara sejauh mana akal itu akan berfungsi ataupun tidak, ia
bergantung terus kepada diri pemiliknya. Kalau ia berusaha menggunakannya maka
akalnya akan tajam, kalau ia menyimpan, akalnya akan lembab dan berkarat.
Tajam atau tumpulnya akal ini pula bergantung kepada diri seseorang itu.
Akal sama seperti pisau, kalau tuannya rajin mengasah, maka dia akan tajam.
Kalau ia hanya disimpan dalam sarung, maka pisau itu akan tumpul dan berkarat.
Tidak mustahil lama kelamaan ia (patah) rosak! Untuk mengasah akal ia memerlukan "batu" seperti untuk
mengasahkan (menajamkan) parang atau pisah. Adapun batu untuk mengasah akal
ialah isi seluruh alam ini.
Firman Allah Ta'ala......
"Aku jadikan isi alam ini untuk diperhatikan oleh manusia.
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan
siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal."
Ali Imran 190
Kita hendaklah menghayati, memerhati, menyelidiki serta menggunakan
seluruh isi alam ciptaan Tuhan ini dengan berpandukan kepada ilmu- ilmuNya
untuk kita menajamkan akal kita.Dengan cara demikianlah akal kita akan tajam, pantas dan dapat
membongkar rahsia-rahsia keTuhanan dan kedirian, yang banyak membelenggu diri
kita. Apabila kita sudah boleh menafaatkan akal demikian rupa, maka
berfungsilah akal kita, bergunalah akal kita untuk membantu kita mengenali diri
dan ma'rifat dengan Allah.
Sesungguhnya akal begitu penting dan besar sekali peranannya kepada kita
dalam usaha untuk mengenal diri dan ma'rifat kepada Allah S.W.T. Jika akal
dapat dikendalikan dengan baik, maka bergunalah ia kepada kita. Jika tidak,
maka sia-sialah Allah menganugerahkan akal kepada kita. Bila kita tidak dapat
menafaatkan akal yang berharga itu maka hidup kita tak ubahlah seperti makhluk
lain yang memang tidak berakal!
No comments:
Post a Comment