Saturday, December 1, 2012


2/12/12



Misteri terowong terjawab

Telaga Palekbang
Kesan-kesan peninggalan Stesen Keretapi Palekbang masih ada di Palekbang.
Telaga
Ini antara telaga yang bersambung ke Sungai Kelantan yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai laluan ke terowong di bawah tanah.
Wan Jaafar Wan Abdullah
Wan Jaafar Wan Abdullah
Telaga
Penduduk, Jali Mustapha menunjukkan telaga sedalam 70 kaki yang diceritakan oleh Wan Jaffar.


TUMPAT – “Itu bukan lubang ke terowong tetapi telaga dan di bawahnya ada saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan,” kata Wan Jafar Wan Abdullah, 92, menjelaskan misteri terowong peninggalan Jepun ketika perang dunia kedua yang kecoh diperkatakan ditemui di Kampung Palekbang berdekatan Pangkalan Pasir Haji Manaf, di sini.

Di dalam blog, di laman sosial dan di kedai kopi tersebar cerita mengatakan terowong bawah tanah itu panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi.

Beberapa buah telaga yang dijumpai di kawasan tersebut didakwa lubang untuk turun ke terowong panjang terbabit.

Wan Jaffar berkata, mustahil ada terowong bawah tanah kerana dia adalah salah seorang pekerja yang terlibat mengali telaga di lokasi tersebut sebelum penjajahan Jepun iaitu ketika usianya awal 20an.

Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan bagaimanapun kewujudan kampung ini mula tercatat setelah Inggeris membina landasan kereta api di pertengahan tahun 1920-an.

Menurutnya, pada masa itu bekalan air untuk kegunaan keret api yang berulang-alik memunggah biji besi dari Temangan, Machang- Tumpat tidak mencukupi kerana di Stesen keretapi Tumpat tiada bekalan air kerana masalah air masin.

“Pihak Inggeris kerahkan gali telaga di kawasan Stesen Keretapi Palekbang untuk mendapatkan bekalan air tersebut.

“Telaga pertama digali sedalam 70 kaki, kerana memerlukan air yang banyak beberapa buah telaga berhampiran sungai digali lagi, kalau tak silap pakcik lima buah telaga kesemuanya,” katanya yang berasal dari Kampung Laut, kini menetap di Kampung Semat Jal.

Wan Jaffar berkata, kesemua telaga ini bersambung kerana di bawah tanah dibuat lubang pada setiap perigi untuk dipasang saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan.

“Air sungai ini boleh masuk ke dalam telaga dan punca air telaga ini disedut dari sungai tersebut.

“Perigi besar yang pertama dipasang pam air dan pam inilah berfungsi menyedut air dari Sungai Kelantan, sehingga ke hari ini perigi itu masih ada di Palekbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal.

Tinjauan Sinar Harian ke Pangkalan Pasir Haji Manaf, Palekbang mendapati kerja-kerja pembersihan giat dijalankan dan dikawal rapi.

Sinar Harian semalam melaporkan Kampung Palekbang tiba-tiba menjadi tersohor apabila tersebar cerita penemuan terowong panjang peninggalan Jepun di bawah tanah di laman sosial, di blog dan juga cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu lalu.

Kewujudannya terus menjadi teka teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi yang kini dalam kajian pembangunan eko sejarah seliaan Kerajaan Negeri yang sedang giat dilaksanakan di lokasi tersebut.

Beberapa hari lalu kelihatan pihak polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.

Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih terus menjadi persoalan sehingga kini.

Sementara itu, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tidak menolak wujudnya terowong di Kampung Palekbang sebagaimana didakwa pihak tertentu sebelum ini.

Pengarahnya, Abdul Rahman Abdullah berkata, bagaimanapun statusnya masih dalam siasatan Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan yang dipengerusikan, Datuk Husam Musa.

“Setakat ini ia masih di peringkat cari gali. Perbadanan Muzium Negeri sendiri belum menerima maklumat secara rasmi, walaupun saya sudah beberapa kali meninjau lokasi tersebut setelah mendapat arahan pihak atasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Rahman yang berasal dari kawasan tersebut turut menjelaskan daripada maklumat awal dan apa yang diketahui sebagai penduduk di kawasan tersebut, kewujudan kawasan yang didakwa mempunyai terowong itu sebenarnya adalah telaga untuk mengisi air bagi kegunaan keretapi.

“Sebab suatu ketika dahulu kereta api menggunakan tenaga wap yang terhasil daripada air untuk bergerak, dan selepas minyak digunakan ia ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.

dipetik dari Sinar harian,com 

No comments:

Post a Comment